ENTRI TIDAK BERTARIKH

Pernah Lihat Remaja Soleh Suka Lepak Pusat Snooker ?

Teringat satu peristiwa di bulan Ramadhan ketika ramai umat Islam sibuk bersolat tarawih. Di luar sebuah masjid, berderet kereta dan motosikal lelaki-lelaki yang berlumba-lumba mengejar pahala bersolat tarawih pada malam hari. Pada waktu yang sama, di luar sebuah pusat snooker, berbaris motosikal remaja-remaja Melayu berlumba-lumba berebut meja snooker di malam hari.

Hinggakan pada hari-hari biasa pun, terdapat budak-budak Melayu yang sanggup ponteng sekolah untuk melepak di pusat snooker bersama geng. Tidak kurang juga, Ada yang menjadikan snooker sebagai satu cara bersosial bersama rakan-rakan hampir setiap petang atau malam.


Di dalam gambar di atas, walaupun Tuan Guru mengunjungi pusat snooker atas sebab tertentu, tetapi adakah secara realiti Tuan Guru dan anak-anak beliau selalu bermain snooker di pusat snooker ? Logikkah ?
Dan pada kepercayaan anda, adakah Tuan Guru sanggup menggalakkan anak-anak muda Melayu Islam agar kerap mengunjungi pusat snooker bagi mengisi masa lapang ?

Jika hendak dilabelkan bermain snooker itu berdosa, tidak boleh. Namun, apa yang terjadi pada akhir zaman ini ialah pusat snooker sangat-sangat sinonim dengan budak-budak Melayu yang tidak tentu hala. Lebih tepat lagi, budak-budak Melayu kaki lepak yang gemar berpeleseran dan membuang masa, terutama sekali budak-budak Melayu yang malas belajar dan gemar ponteng sekolah. Amat-amat jarang dilihat , remaja-remaja baik akhlak dan Soleh menghabiskan masa berseronok di pusat snooker lebih-kebih lagi pada waktu malam. Malah dua tiga kali pandang, segelintir remaja yang ketagih snooker ini ada yang kelihatan seperti Samseng Kampung atau Mat Rempit.

"Snooker sebenarnya satu permainan sukan, tetapi entah apa sebabnya, snooker sering berkait rapat dengan minuman keras, tabiat merokok yang berleluasa, dadah, pergaulan remaja-remaja samseng dan tempat remaja-remaja yang masih bersekolah membuang masa.."

Sesungguhnya ada banyak aktiviti menyeronokkan yang lebih baik dan bermanafaat selain melepak di pusat snooker.