ENTRI TIDAK BERTARIKH

Kebebasan AKADEMIK atau kebebasan POLITIK ?



6 tuntutan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS). Perkataan AKADEMIK ditekankan di situ. Namun adakah makna tersirat di sebalik keseluruhan 6 tuntutan tersebut benar-benar bersifat AKADEMIK dan 100% berkepentingan AKADEMIK ?

1. Mansuhkan AUKU.
Darah-darah muda yang masih penuh dengan sikap memberontak yang tidak mahu dibelenggu dikawal-kawal tingkahlaku mereka di dalam kampus. Jika dilihat secara positif, AUKU ini perlu untuk mengawal disiplin siswa yang bermacam-macam ragam dan memastikan siswa fokus datang ke kampus untuk menyempurnakan amanah belajar tanpa melencong kepada perkara-perkara yang tidak sepatutnya dilakukan siswa. Bagi siwa yang fokus dengan tujuan belajar AUKU bukannya satu penghalang untuk cemerlang, cuma bagi siswa yang mahu bebas berpolitik sahaja merasakan AUKU ini sebagai road-block.

2. Bebaskan ilmuan berakademik
Yang ini nampak AKADEMIK. Bebas menimba ilmu baru dan yang pelbagai tanpa sekatan. Bebas membincang dan membuat kajian untuk meneroka ilmu dan menambah-baik skop ilmu pengetahuan sedia ada. Asalkan bukan bebas mencipta dan mencuba ilmu-ilmu yang menyesatkan dan memudaratkan negara. Perbincangan isu politik bukan secara emosional dibenarkan. Sokong.

3. Bebaskan mahasiswa bersuara.
Yang ini dari satu sudut nampak AKADEMIK iaitu kebebasan bersuara untuk mengetengahkan idea-idea bernas, berkongsi ilmu dengan masyarakat luar kampus dan memberikan komen-komen membina dalam memperbaiki keadaan. Dari sudut tersembunyi pula, kebebasan sebenar yang dituntut mahasiswa ini adalah kebebasan untuk berdemonstrasi dan berhimpun di jalan-jalan dan lokasi-lokasi awam kononnya secara bertamadun tetapi tidak kisah soal kesesakan dan kerimasan masyarakat sekitar yang mungkin timbul. Khususnya bersuara di dalam perhimpunan yang bermotifkan politik kepartian dan yang menghentam kerajaan tanpa cuba disuraikan oleh polis dengan semburan air dan gas pemedih mata.

4. Bebaskan Mahasiswa mengurus pilihanraya kampus.
Habis SPM atau STPM, dapat pula masuk Universiti apa tujuan utamanya ? Memfokuskan diri terhadap pelajaran atau ingin mengabdikan diri pada aktiviti berpolitik ? Pilihanraya kampus adalah sebagai pendedahan awal kepada sistem pilihanraya sebenar di luar. Namun begitu, sifat dan semangat kepartian politik dalam kampus tidak boleh sama mencontohi politik kepartian sebenar di luar. Belum lagi. Ini kerana politik kampus adalah proses belajar dan mesti disesuaikan dengan persekitaran belajar. Tidak boleh secara obses dan fanatik. Buruk padahnya, jika politik kampus terbawa-bawa susana permusuhan politik seperti di luar. Berkemungkinan besar akan berlaku perlagaan dan kebencian di antara mahasiswa-mahasiswa akibat fahaman politik yang berbeza. Akhirnya ramai mahasiswa akan hilang fokus dalam pelajaran mereka. Pilihanraya kampus wajar ada kawalan dan tidak boleh diserahkan bulat-bulat kepada darah-darah muda.

5. Bebaskan mahasiswa mengurus tadbir persatuan dan aktiviti.
Rasanya ada banyak kelab dan persatuan yang bersifat akademik, kesukanan dan beruniform di mana-mana universiti dan setiap persatuan ini diletakkan di bawah seliaan pegawai yang dilantik Universiti. Biasalah, untuk menjamin kualiti dan memastikan prosedur-prosedur berjalan. Jika ada siswa mahu menubuhkan satu persatuan yang baru mestilah diketahui dan diselidik oleh pentadbir universiti. Jika dibiarkan mana-mana siswa menubuh dan mentadbir persatuan mereka sesuka hati, dibimbangi ada kelompok siswa yang akan melakukan aktiviti yang 'mengarut-ngarut' dan akhirnya merosakkan imej Universiti. Sesebuah Universiti ada dekan dan para pentabirnya, ianya adalah sebuah organisasi besar yang berprotokol, maka mereka berhak menetapkan peraturan dan mengawal segala aktiviti di dalamnya bagi tujuan keseragaman dan kualiti. Seperti sebuah syarikat besar, takkan sewenang-wenang akan membenarkan pekerja-pekerjanya menubuh dan mentadbir apa-apa persatuan tanpa kawalan. Rosaklah syarikat jika sebegitu rupa.

6. Bebaskan mahasiswa berpartisipasi dalam politik.
Ha ! Antara 6 perkara tadi inilah sebenarnya main-point mereka. Golongan mahasiswa ini sudah tidak sabar lagi mahu menjebakkan diri ke dalam arena politik negara yang sebenar. Mereka mahu kebebasan memakai T-shirt berlogo PAS atau gambar Anwar di dalam asrama dan ke dewan kuliah tanpa ditahan oleh pihak berkuasa Universiti. Mereka juga mahu kebebasan menubuhkan kelab siswa penyokong UMNO, penyokong Pasti Islam Semalaysia atau kelab siswa AIC di dalam kampus tanpa sebarang sekatan. Mereka sudah pasti ingin siri reformasi Anwar turut dibenar dibawa ke dalam kawasan kampus dan disertai oleh siswa yang berminat. Apabila pilihanraya umum semakin tiba, siswa-siswa dahaga politik ini tidak sabar-sabar mahu membantu parti politik sokongan mereka berkempen di luar dan membawa risalah-risalah PAS,PKR,DAP atau UMNO ke dalam kampus.

Di antara 6 perkara yang dituntut, hanya 2 sahaja yang dipercayai berkepentingan AKADEMIK, 4 yang lainnya adalah lebih berat ke arah POLITIK.

Siswa-siswa Melayu memang panas berpolitik di kampus, tapi bila dalam bab prestasi Akademik tidak panas pun, rata-rata mereka sederhana dan cukup-cukup makan sahaja. Sebaliknya, siswa bukan Melayu (Cina khususnya) berpolitik kampus sikit-sikit sahaja dan ramai yang tidak mahu terlibat terus dengan politik, tetapi rata-rata mereka mendapat CGPA yang tinggi dan cemerlang. Siswa Melayu cemerlang AKADEMIK di mana ? Jika ada pun, perempuan. Yang lelaki cukup makan sahaja. Lihat sendiri di hari konvokesyen.

Realiti di Malaysia, di dalam POLITIK Malaysia, orang Melayu memang lantang dan kuat, tetapi di dalam bab ekonomi, pendidikan dan professionalisme sangat lemah. Tetapi bangsa lain (Cina khususnya) di dalam POLITIK Malaysia mereka tidak sekuat Melayu, tetapi bidang ekonomi mereka kuasai dan survival hidup mereka sangat hebat.